Pengguna disarankan
agar bijak memilih insurans kenderaan dengan cermat dan berhati-hati bagi
menjimatkan wang serta pada masa sama, memenuhi keperluan gaya hidup mereka.
Seiring kerisauan
masyarakat terhadap bencana banjir yang sentiasa melanda di beberapa negara
sebelum ini, Proton Holdings Berhad (Proton) telah berkongsi tip memilih
insurans kenderaan yang sesuai buat pengguna di Malaysia.
Menurutnya, penyedia
insurans kini semakin kreatif dalam menawarkan pakej insurans menarik, oleh
itu pengguna wajar mencari polisi yang menawarkan diskaun baik ketika
memperbaharui polisi atau mencari polisi baharu.
“Bagi yang memiliki
lebih daripada satu kenderaan, pelan yang digabungkan mungkin lebih bermanfaat,
manakala untuk yang kurang menggunakan kenderaan mereka, terdapat pelan yang
mampu memberi penjimatan dalam aspek ini.
“Selain itu, periksa
dengan ejen setiap kali ingin memperbaharui insurans kerana mungkin terdapat
pakej atau pelan baharu yang memberikan faedah menarik,” katanya dalam
kenyataan.
Proton menjelaskan,
pelanggan perlu meneliti pelan perlindungan insurans bagi memenuhi keperluan
gaya hidup masa kini, misalnya mereka yang bekerja atau tinggal di kawasan
berisiko banjir wajar mengambil insurans perlindungan bencana itu.
Pemilik juga digesa
mempertimbangkan perlindungan untuk pelbagai pemandu sekiranya ramai yang
menggunakan kenderaan mereka,” katanya.
Selain itu, Proton
menawarkan perlindungan untuk pelanggan melalui Program Insurans Proton.
“Pelanggan juga boleh
memilih polisi insurans kereta daripada enam pembekal iaitu Allianz General
Insurance, AmGeneral Insurance, Liberty General Insurance, Zurich General
Insurance, Etiqa General Takaful dan Zurich General Takaful) dengan ciri-ciri
mudah seperti kelulusan tuntutan hingga RM20,000,” katanya.
Sumber: kosmo!