KEBANYAKAN orang akan mengalami masalah sakit
kepala (headache) dari masa ke masa, tidak kiralah sama ada sakit itu sedikit
ataupun sangat teruk.
Cara menghilangkannya bergantung kepada jenis
sakit kepala itu sendiri, namun terdapat beberapa cara untuk mengurangkan
kesakitan dan petua menghilangkannya dalam jangka masa yang panjang – untuk
mengelakkan kesakitan itu berterusan dan semakin bertambah.
Dalam artikel kali ini, kami akan menyenaraikan
beberapa petua dan cara menghilangkan sakit kepala yang berkesan.
Sekiranya anda mengalami sakit kepala, perkara
pertama yang anda akan fikir adalah bagaimana untuk hilangkan rasa yang sakit
tersebut. Berikut adalah beberapa cara cadangan yang anda boleh gunakan:
1. Rujuk Bantuan Doktor
Sekiranya anda mengalami masalah sakit kepala
yang sangat kuat, adalah terbaik langkah pertama yang anda ambil adalah
mendapatkan nasihat doktor. Hal ini kerana untuk mengesahkan masalah sakit
kepala itu tidak bersangkut paut dengan simptom-simptom penyakit yang lain.
Penyakit seperti strok, encephalitis ataupun meningitis boleh menyebabkan sakit
kepala yang agak teruk.
Dapatkan nasihat doktor dengan kadar yang segera
sekiranya anda mengalami beberapa perkara di bawah:
• Masalah
berjalan
• Leher
tegang
• Loya
dan/atau muntah
• Demam
panas
• Sukar
menggerakkan anggota badan
• Berasa
tersangat lemah
• Sakit
kepala yang sangat kerap
• Ubat-ubatan
yang digunakan tidak berhasil
2. Dapatkan Ubat-Ubat Farmasi
Kebanyakan ubat tahan sakit akan memberikan
kesan yang agak lama selepas mengambilnya (dalam anggaran 60-120 minit). Oleh
itu, anda digalakkan untuk mengambilnya sebaik sahaja anda merasakan sakit
kepala.
Selain paracetamol, ataupun Panadol yang kita
sering ambil semasa sakit kepala, penggunaan ibuprofen, acetaminophen,
naproxen, aspirin ataupun capsaicin nasal spray juga boleh digunakan sebagai
gantian.
Namun, berhati-hati dengan dos yang diambil.
Jangan melebihi dos harian yang dinyatakan ataupun dinasihatkan oleh doktor
anda. Penggunaan yang berlebihan boleh menyebabkanMedication Overuse Syndrome,
iaitu satu sindrom di mana seseorang itu tetap mengambil ubat sakit kepala
walaupun dia tidak mengalami masalah sakit kepala pada ketika itu.
Penggunaan yang berlebihan ini boleh menyebabkan
masalah sakit kepala yang kerap pada masa hadapan, juga sering dikenali sebagai
“rebound headaches”.
3. Berhati-Hati Dengan Kafein
Minuman ataupun makanan yang mengandungi kafein
boleh dikatakan sebagai pedang dua mata. Hal ini kerana ia boleh menjadi satu
ubat dan juga satu punca sakit kepala itu bertambah teruk – ia bergantung
kepada orang itu sendiri.
Kebanyakan ubat-ubatan yang anda boleh dapati
mengandungi kafein, untuk mencepatkan keberkesanan ubat tahan sakit tersebut.
Semasa sakit kepala, adenosine dibebaskan ke
dalam saluran darah. Kafein membantu dengan menghalang reseptor adenosine.
Hadkan pengambilan kafein untuk merawat sakit kepala kepada dua kali seminggu.
Pengambilan yang banyak boleh menyebabkan anda menjadi caffeine dependent,
terutama kepada yang mengalami migrain.
Sekiranya anda seorang peminum kopi tegar (lebih
daripada 200mg sehari, ataupun 2 cawan kopi) dan anda secara tiba-tiba tidak
mengambilnya dalam sehari itu, anda akan mengalami masalah sakit kepala sebagai
satu kesan sampingan.
Hal ini kerana pengambilan kafein ataupun kopi
setiap hari mengembangkan saluran darah ke kepala. Sekiranya anda tidak
mengambilnya pada suatu hari itu, saluran tersebut akan mengecil dan akan
menyebabkan tekanan pada kepala, lantas menyebabkan anda berasakan sakit
kepala. Jika anda ingin mengurangkan kadar pengambilan kafein, anda perlu
melakukannya dengan kadar yang perlahan.
Jika anda tidak peminum kopi, dan anda kerap
merasakan sakit kepala, adalah terbaik bagi anda agar tidak meminum kopi kerana
ada kemungkinan sakit kepala akan lebih teruk jika ada pengambilan kafein.
4. Minum Air Yang Banyak
Dehidrasi (dehydration) boleh menyebabkan
masalah sakit kepala. Minum air masak dengan kadar yang banyak jika kepala anda
mula berasa sakit, dan kerapkan pengambilan air sepanjang hari tersebut
(walaupun dengan kadar yang sedikit setiap pengambilan). Anda akan merasakan
kesakitan itu akan berkurangan.
Bagi lelaki: minum sekurang-kurangnya 13 gelas
air (3 liter) setiap hari
Bagi perempuan: minum sekurang-kurangnya 9 gelas
air (2.2 liter) setiap hari
Anda perlu minum air yang lebih banyak daripada
saranan yang dinyatakan di atas sekiranya anda dalam situasi-situasi berikut:
- menjalani
aktiviti senaman ataupun yang berat
- tinggal di
kawasan yang panas
- sakit yang
kerapkan anda muntah atau cirit-birit
- sedang
menyusukan anak
Sekiranya anda ingin menggunakan cara ini, anda
dinasihatkan agar tidak meminum air yang sangat sejuk (berais). Hal ini kerana
minuman ini boleh menyebabkan migrain kepada sesetengah orang – lebih-lebih
lagi kepada orang yang sering mengalami migrain. Pengambilan air masak pada
suhu bilik adalah terbaik dalam kes ini.
5. Berehat Pada Tempat Yang Sesuai
Sebaik-baik tempat untuk berehat semasa anda
sakit kepala adalah tempat yang sunyi dan gelap. Sekiranya boleh, cuba baring
dan rileks/ berehat selama 30 minit. Pejam mata, tutup lampu.
Selain itu, anda juga boleh tidur sekejap untuk
melegakan kesakitan tersebut. Pastikan tempat anda tidur/ berehat tersebut
selesa dan kepala anda mendapat sokongan seperti bantal.
Anda juga boleh memilih suhu yang sesuai dengan
anda semasa berehat. Sesetengah orang lebih selesa dalam keadaan yang sejuk
pendingin hawa, manakala sesetengah orang lain pula lebih selesa dengan angin
kipas sahaja. Mana-mana pun boleh, pilihlah yang mana anda berasa lebih selesa.
6. Praktikkan Senaman
Percaya atau tidak, senaman ringan juga boleh
membantu anda menghilangkan sakit kepala. Hal ini kerana masalah sakit kepala
salah satunya berpunca daripada kekurangan bekalan darah ke kepala. Dengan
sedikit senaman ringan, anda boleh membantu saluran darah ke otak, lantas
mengurangkan sakit kepala.
Anda boleh menggunakan yoga untuk tujuan
tersebut, namun sekiranya tidak biasa, ikuti langkah-langkah yang mudah ini:
- Baring
dalam posisi yang anda selesa. Pejam mata dan tarik nafas yang panjang.
- Bermula
dengan dahi, tegangkan semua otot ke sesuatu tempat untuk 5 saat.
- Mengendurkan
otot tersebut dan biarkan 5 saat untuk merasakan kelegaan tersebut.
- Seterusnya,
beralih kepada otot-otot yang lain pula, antara otot yang anda boleh lakukan
adalah: dahi, mata, hidung, mulut/pipi, tangan, bahu, belakang badan, perut,
pinggan, punggung, paha dan kaki.
7. Gunakan Kain Basah/Sejuk
Pernah tengok tak orang tua-tua menggunakan kain
yang basah ataupun sejuk dan letakkannya di atas dahi orang yang sakit/ demam –
mungkin biasa tengok cerita drama Cina/Jepun ataupun anime yang bertemakan
zaman dahulu.
Hal ini kerana benda yang sejuk dan lembut yang
diletakkan di atas dahi/ kepala boleh melegakan saluran darah dan secara tidak
langsung mengurangkan kesakitan kepala.
Sekiranya anda berminat dengan cara ini, ada
beberapa cara untuk melakukannya:
i. Kain
dan Air Sejuk
Sediakan
kain yang lembut dan air masak ataupun air yang sejuk. Basahkan kain tersebut
dengan merendamkannya ke dalam air tersebut. Perah sedikit untuk mengelakkan
air terlalu banyak. Letakkannya di atas dahi anda untuk beberapa minit. Basahkan
kain tersebut sebaik sahaja kain tersebut mula berasa suam (kerana menyerap
suhu badan anda).
ii. Plastik
dan Ais
Sediakan
beg plastik yang boleh ditutup ataupun seal, dan air. Masukkan air ke dalam beg
plastik tersebut, kemudian sealkannya. Biarkan air tersebut membeku (menjadi
ais) di dalam peti sejuk. Keluarkannya, dan letakkan di atas kepala anda. Anda
boleh menggunakan kain sebagai alas.
iii. Gunakan
Produk Komersial
Sekarang,
sudah terdapat produk-produk komersial yang menggunakan konsep ini dalam bentuk
patch yang mudah dipakai di dahi. Anda boleh mendapatkannya dari kedai-kedai
runcit dan farmasi yang berdekatan.
Sekiranya sakit kepala anda berpunca daripada
stres, penggunaan air panas memberikan kesan yang lebih baik berbanding dengan
air sejuk. Oleh itu, pastikan anda tahu punca sakit kepala anda sebelum mencuba
cara-cara di atas.
8. Urutan Pada Muka dan Kepala
Pada umumnya, jika anda mengalami masalah sakit
kepala, urutan pada kulit kepala boleh membantu melegakan kesakitan tersebut.
Hal ini kerana dengan mengurut boleh membantu sistem peredaran darah ke kepala
dan otak, dan secara tidak langsung melegakan sakit kepala.
Cara-caranya adalah mudah sahaja:
- Letakkan
ibu jari ataupun jari telunjuk pada sisi kepala (tempat di antara telinga dan
mata).
- Berikan
sedikit tekanan pada tempat tersebut dengan jari anda dan gerakkan dalam
pusaran/bentuk bulat.
- Selain cara
di atas, anda boleh mengurut kulit kepala anda. Anda boleh menggunakan syampu
dan mengurut kepala anda dengannya. Salah satu cara yang lain adalah dengan
menggunakan minyak kelapa ataupun minyak zaitun. Sapukan pada kulit kepala dan
urutnya seperti biasa.
9. Urut Leher dan Bahu
Tekanan pada leher dan bahu boleh menyebabkan
masalah sakit kepala. Dan sakit kepala jenis ini adalah yang paling mudah untuk
diatasi.
Anda boleh menggunakan senaman yang ringan untuk
melegakan sakit kepala anda. Salah satunya adalah dengan menggunakan senaman
panaskan badan yang melibatkan pergerakan kepala, bahu, lengan dan pinggan.
10. Guna Kaedah Akupuntur
Cara rawatan akupuntur boleh menghilangkan sakit
kepala, terutama masalah sakit kepala yang berpunca daripada tekanan (stres)
dan ketegangan otot. Jika anda ingin menggunakan kaedah ini, anda perlu
mengetahui asas-asas titik akupuntur, sekiranya tidak, anda digalakkan untuk
mencuba cara yang lain (untuk mengelakkan kemudaratan).
Secara ringkasnya, kaedah ini memerlukan anda
menekan titik akupuntur anda dengan tekanan yang tertentu dan dalam jangka masa
yang tertentu. Jika anda berminat, anda boleh dapatkan gambar rajah titik
akupuntur anda di bawah dan tekan pada titik tersebut pada badan anda. Anda
juga boleh mengurut pada titik tersebut jika mahu.
11. Belajar Untuk Rileks
Orang di seluruh dunia mempelajari dan menguasai
cara-cara untuk mengalihkan perhatian daripada berasa sakit. Jika anda
mengalami sakit kepala, anda tidak perlu mempelajari benda yang baharu kerana
anda mungkin sudah mengenalpasti cara yang sesuai untuk menenangkan diri anda.
Anda boleh memilih beberapa cara cadangan di
bawah:
• Meditasi
• Bersolat
• Tarik
dan hembus nafas yang panjang
• Dengar
muzik
• Tidur
Apa yang penting adalah anda melakukan perkara
yang boleh menenangkan anda, ataupun perkara yang anda suka lakukan. Hal ini
boleh mengalihkan perhatian otak anda daripada perasaan sakit kepada perkara
yang anda sedang lakukan tersebut.
12. Amalkan Senaman Bernafas
Kadang kala, dengan bernafas sudah cukup untuk
menghilangkan sakit kepala. Apa yang saya ingin sampaikan adalah dengan menarik
dan menghembus nafas yang panjang. Hal ini kerana cara ini boleh melegakan
sebarang tekanan minda dan otot anda untuk beberapa ketika.
Untuk mengamalkan kaedah ini, anda
sebaik-baiknya berada di tempat yang sunyi, suhu yang sesuai dan gelap.
Baringkan badan anda dalam posisi yang anda rasa
paling selesa, dan mula menarik nafas yang panjang, sehingga anda dapat rasa
paru-paru anda berkembang. Tahan nafas selama 2-5 saat, kemudian
menghembuskannya melalui mulut. Lakukannya untuk beberapa kali sehingga sakit
kepala anda berkurangan.
Sumber: www.infopelajar2u.com